Pengarah Cub Prix Malaysia, Ron Hogg, mahu menjadikan saingan musim ini lebih hangat dengan mengubah beberapa peraturan dalam kategori CP150.

Keputusan itu dilakukan bagi memastikan peningkatan prestasi yang seimbang dan adil di antara pasukan yang menggunakan jentara Honda dengan Yamaha dalam kategori berkenaan.

Selain itu, ia juga sebagai langkah memperkasakan tahap keselamatan perlumbaan supaya insiden buruk seperti yang pernah berlaku sebelum ini tidak berulang.

"Kelas 150 mengalami perubahan peraturan paling besar.

"Ia bagi mengimbangkan prestasi di antara dua jenama yang mengambil bahagian.

"Kami berharap dengan perubahan tersebut, saingan musim ini akan menjadi lebih menarik," katanya.

Dalam pada itu, pengurus pasukan Honda Yuzy Racing, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini, berharap perubahan peraturan itu dapat membantu pasukannya untuk menamatkan kemarau kejuaraan.

"Perubahan tersebut dipersetujui kesemua pasukan yang bertanding disebabkan faktor keselamatan.

"Dalam masa sama, ia akan membuka peluang pasukan yang menggunakan jentera Honda untuk bersaing dengan lebih baik.

"Peluang kami untuk menjuarai perlumbaan agak cerah musim ini," katanya.