Litar baru sepanjang 1.144km di Jasin, Melaka memberi kelebihan buat Md Hafiz Nor Azman apabila mencatat masa terpantas dalam sesi kelayakan kategori CP150, pusingan ketiga Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS, hari ini.

Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing itu mencatat masa 48.581 saat manakala Azroy Hakeem Anuar (Idemitsu Honda Givi Yuzy Racing) turut memperagakan aksi bertenaga untuk berada di belakang Hafiz dengan perbezaan 0.254s.

Kedua-dua pelumba sebelum itu turut menguasai sesi latihan pada sebelah pagi yang menyaksikan Hafiz mencatat masa terpantas, 48.937s, dalam sesi latihan bebas pertama manakala Azroy dengan catatan 48.584s ketika sesi latihan bebas kedua.

“Moral seluruh pasukan semakin meningkat selepas meraih kemenangan dalam perlumbaan lalu. Saya juga cukup bersemangat untuk memulakan aksi di Jasin selepas terlepas podium di MAEPS,” kata Hafiz.

“Pasukan telah mempersiapkan jentera yang terbaik dan untuk sesi Superpole esok, saya berharap dapat mengekalkan momentum hari ini dan dapat memulakan perlumbaan dari barisan hadapan.”

Sementara itu, juara bertahan, Kasma Daniel Kasmayuddin (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) muncul pelumba ketiga terpantas dengan catatan 48.870s sambil dua rakan sepasukan Hafiz, Md Aiman Tahiruddin dan Ahmad Afif Amran, berada dalam kelompok lima pelumba terpantas dengan catatan 48.920s dan 49.001s.

Dalam saingan CP115, Md Haziq Fairues (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) mencatat masa terpantas pusingan kelayakan dengan masa 50.279s, diikuti pendahulu keseluruhan, Tengku Amirul Haffirudin (Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing) kedua, 50.776s.

Rakan sepasukan Tengku Amirul, Md Fareez Afeez, muncul pelumba ketiga terpantas dengan catatan terbaik 51.033s.


KEPUTUSAN CP150

1. Hafiz Nor Azman (PRK) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing 48.581s

2. Azroy Hakeem Annuar (KUL) Idemitsu Honda Givi Yuzy Racing 48.835s

3. Kasma Daniel Kasmayuddin (JHR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 48.870s

4. Md Aiman Tahiruddin (KUL) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing 48.920s

5. Ahmad Afif Amran (TRG) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing 49.001s