Azroy Hakeem Anuar meraih kemenangan penuh bermakna buat kontinjen Honda setelah memenangi perlumbaan CP150 dalam pusingan pembukaan Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS 2019 yang berakhir di Jasin, Melaka, semalam.

Selepas dua musim, pelumba Idemitsu Honda Yuzy Racing itu akhirnya menamatkan dominasi jentera Yamaha, sekali gus turut menjadi kemenangan pertamanya dalam kategori perdana.

Azroy memulakan 20 pusingan perlumbaan dari petak ketiga sebelum berjaya merampas kedudukan daripada pendahulu, Md Iqbal Amri Malek, seawal pusingan kedua.

Dia bagaimanapun diberikan tentangan sengit oleh seorang lagi pelumba muda, Md Helmi Azman, sebelum berjaya memenangi perlumbaan dengan masa keseluruhan 16 minit 02.227 saat.

Helmi muncul naib juara dengan masa keseluruhan 16:02.939s sambil rakan sepasukan Azroy, Md Zaqhwan Zaidi, yang kembali ke kancah Cub Prix musim ini melengkapkan penguasaan podium Honda di kedudukan ketiga dengan masa 16:09.377s.

“Saya berasa sangat gembira dan puas kerana dapat memenangi perlumbaan dan menghadiahkan kemenangan pertama ini kepada pemilik pasukan, Shahrol Yuzy, dan seluruh pasukan yang tidak berhenti bekerja keras untuk memberikan saingan yang lebih kompetitif musim ini,” kata pelumba berusia 20 tahun itu.

Dalam saingan CP115, Md Fareez Afeez Abd Rahman, meneruskan momentum kemenangan pasukan Motul Yamaha YY Pang Racing apabila mengungguli 12 pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 12:31.825s.

Naib juara keseluruhan musim 2018 itu mengatasi Ahmad Syukran Aizat Md Yusoff (PETRONAS Sprinta Yamaha - CKJ Racing) di kedudukan kedua dengan masa 12:34.962s sementara pendatang baru kategori CP115, Md Syarifuddin Azman (SGR) Idemitsu Kozi DFZ Yam Honda Racing menamatkan perlumbaan di kedudukan ketiga.

Juara keseluruhan WIRA 2018 itu menamatkan perlumbaan dengan masa keseluruhan 12:35.454s.

Sementara itu, perlumbaan kategori WIRA dimenangi pelumba persendirian, Md Zaki Zamri, yang menamatkan lapan pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 10:24.355. Tempat kedua milik pelumba pasukan Super KIP Motorsports, Md Afizi Supaat, dengan masa 10:24.355s sementara Md Sharul Ezwan M Sharil (AFB TECH Racing) ketiga, 10:24.493s.