Cub Prix: Ahmad Afif Raja Litar CP150 

Oleh Bernama 17 November 2019 161
 Cub Prix: Ahmad Afif Raja Litar CP150 
Pelumba Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing, Ahmad Afif Amran, sah mempertahankan gelaran selaku ‘Raja Litar’ bagi kategori CP150 selepas berakhir pusingan kesembilan Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas 2019 di Dataran Seri Jempol, Negeri Sembilan, hari ini.

Pelumba berusia 24 tahun itu mengekalkan gelaran tersebut selepas menduduki tempat kedua dalam perlumbaan itu untuk mengumpul keseluruhan 147 mata, sekali gus kedudukannya itu tidak dapat lagi digugat pelumba lain dengan berbaki satu perlumbaan musim ini di Litar Sepang, 7 dan 8 Disember depan.

Saingan pusingan ke-10 di Sepang itu bakal menyaksikan perebutan bagi kedudukan di tempat kedua di antara bekas juara kategori CP115 musim 2017, Md Akid Aziz, daripada pasukan Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor yang mengutip 112 mata, dan pelumba Idemitsu Honda Yuzy Racing, Azroy Hakeem Anuar, yang mengumpul 102 mata.

Ketika ditemui pemberita selepas perlumbaan, Ahmad Afif amat berpuas hati dengan kejayaan berkenaan kerana tidak dapat membuat persiapan rapi bagi menghadapi saingan musim ini.

“Sebenarnya,  musim ini saya tidak membuat persiapan yang sebaik-baiknya, namun hasil kerja keras semua dalam pasukan, saya berjaya meraih kejuaraan ini,” kata pelumba kelahiran Terengganu itu.

Dalam perlumbaan 20 pusingan tersebut, Ahmad Afif menamatkan saingan di tempat kedua dengan catatan 15 minit 06.511 saat untuk mengakhiri saingan di belakang Md Akid yang mencatat masa 15:05.564s.

Rakan sepasukan Ahmad Afif, Md Aiman Thiruddin, di kedudukan ketiga dengan ​​​​​​​catatan masa 15:07.494s. 

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Sementara itu, dalam kategori CP115, pendahulu, Ahmad Syukran Aizat Md Yusoff, daripada pasukan Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing mempamerkan tunggangan cemerlang apabila menjarakkan saingan dengan pelumba lain sehingga ke garisan penamat.

Dia menamatkan perlumbaan 15 pusingan itu dengan catatan 11:59.248s untuk menewaskan ​​​​​​​pelumba Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor, Md Syafiq Rosli (12:00.230s), manakala pelumba Motul Yamaha YY Pang Racing, Md Adib Rosley, di tempat ketiga dengan masa 12:01.476s.

Abdullah Qayyum Abd Razak (AFB TECH Racing) pula mengungguli perlumbaan 12 pusingan kategori WIRA KBS selepas mencatat masa 9:44.355s, diikuti Awal M Al Fikri Yusni daripada Petronas Sprinta Yamaha-31 Racing (9:44.574s) dan pelumba WIRAMUDA V-FIERTECH Academy Racing, Akif Hakimi Zainuddin (9:45.393s). 

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen