Ahmad Afif Amran bakal dinobatkan juara keseluruhan kategori CP150 seandainya berjaya menamatkan perlumbaan dalam kelompok 10 pelumba terbaik dalam saingan Pusingan 9, Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Jempol, Negeri Sembilan, hujung minggu ini.

Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing itu kini berkelebihan 44 mata ke atas pencabar terdekat, Kasma Daniel Kasmayuddin, yang menyekat Afif daripada mengesahkan gelaran lebih awal selepas menjuarai perlumbaan pusingan lalu di Batu Kawan, Pulau Pinang.

Meskipun hanya perlu menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-10, namun Afif perlu bijak mengatur strategi memandangkan gandingannya bersama Md Hafiz Nor Azman dan Md Aiman Tahiruddin turut bersaing untuk memastikan gelaran berpasukan turut menjadi milik mereka.

"Secara matematik, enam mata sudah cukup untuk membantu saya mengekalkan kedudukan pendahulu keseluruhan tetapi pada masa sama, saya juga perlu mengumpul banyak mata untuk pasukan kerana kedudukan kami dengan pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor masih belum begitu selamat.

"Jika pelumba mereka menamatkan perlumbaan di podium, jurang mata kami akan semakin mengecil.

"Jadi, saya dan Hafiz serta Aiman perlu menamatkan perlumbaan di podium atau tidak boleh ketinggalan jauh dengan mereka," jelas Afif.

Tambahnya, "Jadi saya dan rakan sepasukan perlu merencana strategi terbaik untuk memastikan kedua-dua gelaran akan menjadi milik pasukan kami pada musim ini.

"Dalam masa sama, Hafiz juga sedang bersaing untuk menamatkan musim ini dalam kelompok tiga pelumba terbaik, jadi dia juga perlu menamatkan saingan di atas podium. Mudah-mudahan semuanya akan berjalan lancar minggu ini."

Selepas lapan pusingan, pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha CKJ Racing sedang mendahului kedudukan keseluruhan berpasukan dengan 298 mata manakala PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor di kedudukan kedua dengan 248 mata.

Pasukan Motul Zeneos Yamaha YY Pang ketiga dengan 118 mata.