Walaupun hanya sesi ujian musim sejuk, pelumba kebanggaan negara, Hafizh Syahrin Abdullah, sudah bersedia untuk memberikan aksi terbaik bagi memikat hati pihak pengurusan Yamaha Tech 3, sekali gus mencipta sejarah menjadi rakyat Malaysia pertama bersaing di pentas MotoGP.

Tanggal 16 Februari ini akan menjadi titik penentu bagi masa depan karier Hafizh untuk melakar nama sebagai rakyat Malaysia pertama beraksi dalam kelas tertinggi dalam kejohanan motosikal dunia.

Misi utamanya adalah untuk memikat hati prinsipal Yamaha Tech 3, Hervel Porncharal, untuk merealisasikan impian itu dalam sesi ujian di Buriram, Thailand.

"Saya berasa sangat gembira dan teruja untuk ke Buriram dan membuktikan saya mampu bersaing dalam MotoGP," katanya.

Ia satu peralihan yang cukup besar buat Hafizh seandainya dia berjaya diikat pasukan tersebut.

Hafizh sebelum ini beraksi dalam kelas Moto2, dengan menunggang motor berkuasa sekitar 600cc dan peralihan ke MotoGP bakal menyaksikannya menunggang jentera berkuasa 1,000cc ke atas.

Selepas Buriram, ujian musim sejuk MotoGP seterusnya adalah di Qatar pada 1 Mac depan.

"Jika saya dipilih, saya perlu memperbaiki setiap aspek untuk menjadikan diri bersaing dengan pelumba-pelumba lebih berpengalaman seperti Valentino Rossi dan Marc Marquez," katanya.