Pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman, bertekad untuk melakar kebangkitan dalam Kejuaraan Moto2 Eropah (CEV) di Litar Catalunya selepas gagal menamatkan perlumbaan pertama di Litar Estoril, Portugal, 7 April lalu.

Azlan Shah enggan memberikan laluan kepada pencabar lain bagi memburu kedudukan podium menjelang perlumbaan pusingan ketiga itu, Ahad ini.

Kejayaan meraih kejuaraan dalam saingan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Litar Antarabangsa Buriram, hujung minggu lalu meningkatkan semangat pelumba berusia 35 tahun itu untuk berentap dengan barisan pelumba dalam CEV.

"Tahap CEV lebih tinggi berbanding kategori-kategori lain kerana ramai pelumba Sepanyol yang menyertainya.

"Ia agak mencabar untuk saya," katanya.

Sementara itu, Azlan Shah mahu menjadikan pengorbanannya untuk tidak menyambut Aidilfitri bersama keluarga tahun ini sebagai sesuatu yang berbaloi.

Meskipun pelumba TKKR Racing itu baru sahaja pulang dari Thailand semalam, dia mengakui kepenatan itu tidak akan menjadi penghalang mahupun alasan untuk dia membuktikan prestasi cemerlang.

"Ia merupakan kemenangan yang saya tidak sangka.

"Saya bekerja keras bersama pasukan dan saya berharap prestasi itu akan berkekalan dalam saingan CEV," tambahnya.