Pelumba muda negara, Mohd Helmi Azman, sedia menggegar kancah Supersports 600cc bersama pasukan Musashi Boon Siew Honda Racing dalam Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2019.

Helmi, yang sebelum ini beraksi dalam kategori Underbone 150cc, melangkah satu lagi peringkat terbaik apabila diberi kepercayaan untuk beraksi dalam kategori Supersports 600cc musim ini.

Bagi pelumba berusia 20 tahun tersebut, ia adalah satu cabaran besar buatnya untuk menyesuaikan diri bersama jentera baru, apatah lagi dia bakal beraksi menggunakan jentera yang lebih besar berbanding edisi sebelumnya.

Helmi sedia berkorban masa untuk memberi tumpuan dalam latihan dalam misinya untuk mengekalkan gelaran juara ARRC musim lalu walaupun bakal berhadapan saingan lebih sengit.

"Saya akan membuktikan kemampuan dalam kelas Supersports 600cc ARRC.

"Cabaran kali ini lebih besar kerana bakal menggunakan jentera lebih besar. Jadi, saya perlu berlatih dengan gigih untuk mendapatkan keputusan terbaik pada masa akan datang," ujarnya.

Helmi dinobatkan selaku Pelumba Kebangsaan Terbaik 2018 dalam Majlis Anugerah Petronas SIC Persatuan Pemotoran Malaysia (MAM) selepas muncul juara Asia kelas Underbone 150cc tahun lalu.