Pelumba ONEXOX TKKR Racing, Azlan Shah Kamaruzaman, membawa misi penting menjelang pusingan kelima Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) hujung minggu ini apabila perlu mengutip mata penuh dalam usahanya untuk merampas kedudukan pendahulu bagi kategori Asia Superbike 1000.

Penunggang berusia 35 tahun itu mempunyai rekod baik di di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), khususnya ketika muncul juara dalam aksi pembukaan ARRC musim ini, Mac lalu.

Ia boleh dijadikan pembakar semangat buatnya untuk beraksi cemerlang di laman sendiri, bermula dengan saingan Khamis ini apabila kini di tangga ketiga keseluruhan dalam kategori ASB1000 di belakang pendahulu, Broc Parkes, dari Australia dan rakan senegara, Mohd Zaqhwan Zaidi.

"Beraksi di tempat sendiri, saya cuba dapatkan podium dan merapatkan jurang dengan pendahulu keseluruhan selain buat yang terbaik," katanya di kediamannya di Rawang, hari ini.

Jika Azlan mampu menaiki podium untuk kedua-dua perlumbaan hujung minggu ini dan berjaya meraih mata penuh, ia bakal mencerahkan laluan juara Supersport 600 pada 2016 itu untuk membawa bekalan selesa menjelang perlumbaan pusingan terakhir di Litar Buriram, Thailand, 29 November depan.

"Saya tidak mahu memberi tekanan kepada diri sendiri untuk bergelar juara keseluruhan.

"Walaupun tahu masih ada peluang, saya tidak mahu terlalu memikirkannya.

"Saya amat mengenali dan menggemari baki perlumbaan di dua litar ini.

"Saya akan cuba dan fokus untuk habiskan perlumbaan di kedudukan tiga pelumba terbaik."