Pengurus SIC Junior ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin, mengesahkan pelumba negara, Adam Norrodin, tidak mengalami sebarang kecederaan serius selepas terbabit dalam kemalangan, semalam.

Zulfahmi mengesahkan Adam mengalami kemalangan di Seremban, Negeri Sembilan, ketika menuju ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari Johor Bahru.

Sehubungan itu, pelumba berusia 21 tahun tersebut perlu berehat selama beberapa hari di kediamannya di Batu Pahat, Johor sebelum kembali memulakan latihan.

"Dia ditimpa kemalangan ketika (memandu) dalam perjalanan dari Johor menuju ke SIC pada jam 8 pagi.

"Dia mahu mengelak monyet di lebuh raya sebelum berlanggar dengan sebuah lori. Keadaannya ketika ini stabil, cuma dia mengadu berasa sakit-sakit di bahagian badannya selain berasa pening.

"Mungkin kepalanya terhentak di beg udara keretanya.

"Saya akan biarkan Adam berehat selama sehari-dua ini sebelum membenarkannya menyambung latihan seperti biasa," jelas Zulfahmi.

Bekas pelumba Moto3 negara itu dijadual menyertai pusingan ketiga di Litar Catalunya, Sepanyol dari 7 hingga 9 Jun ini.

Ketika ini, Adam sudah mengumpul 15 mata keseluruhan untuk berada di tangga ke-11, 46 mata di belakang pendahulu dari Sepanyol, Edgar Pons.