Adam ganti Khairul Idham di San Marino

Oleh Bernama 3 September 2019 887
Adam ganti Khairul Idham di San Marino
Pelumba muda negara yang berbakat, Adam Norrodin, akan menyertai Petronas Sprinta Racing dalam perlumbaan Moto2 menggantikan Khairul Idham Pawi yang berehat untuk kembali pulih selepas mengalami kecederaan teruk di tangannya. 

Pelumba berusia 21 tahun itu, yang kini beraksi dalam Kejohanan Eropah FIM CEV Moto2 bagi Pasukan Remaja SIC, akan membuat penampilan dalam Kejohanan Dunia Moto2 melalui Grand Prix (GP) San Marino. 

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) menerusi ketua pasukan, Datuk Razlan Razali, peluang yang diberikan kepada Adam ialah untuk membolehkannya berkembang dan mengasah bakatnya untuk masa depan.

"Salah satu objektif kami adalah untuk menggalakkan dan memupuk bakat pelumba Malaysia, jadi dengan Khairul Idham masih belum pulih, peluang terbuka luas untuk Adam mencuba Moto2 di peringkat Kejohanan Dunia," katanya.

"Kami mempunyai beberapa pelumba yang sangat berpengalaman sebagai simpanan yang telah memberi maklum balas dan perspektif yang berbeza untuk membolehkan pasukan berkembang tetapi peluang ini adalah untuk membolehkan Adam mengembangkan bakatnya untuk masa depan."

Adam bukan asing lagi bagi pasukan itu kerana dia pernah beraksi dari 2016-2018 dalam kelas Moto3.

Sementara itu, Adam berterima kasih kepada Razlan kerana masih mempercayainya dan mengakui bahawa peluang itu adalah sesuatu yang baharu untuk dia belajar.

"Ini merupakan satu bab baharu untuk saya. Saya sedih Khairul Idham tidak dapat kembali ke perlumbaan tetapi saya sangat gembira kerana diberi peluang ini, seperti mimpi menjadi kenyataan. Peluang untuk kembali ke Kejohanan Dunia memang hebat," katanya.

"Jentera ini sedikit berbeza dengan apa yang saya gunakan tetapi saya tidak sabar untuk mencubanya dan tumpuan utama pada hujung minggu ini adalah untuk mencuba serta mempelajarinya bagi membuat persediaan untuk masa depan.

"Bagi saya, ini peluang yang hebat tetapi dalam masa sama, saya berharap Khairul Idham dapat segera pulih dan kembali beraksi dalam kejohanan untuk menunjukkan potensinya."

Aksi di Litar Dunia Misano Marco Simoncelli itu akan berlangsung 13 hingga 15 September depan.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen