Timbalan chef-de-mission kontinjen Sukan Para ASEAN negara, Safrushahar Yusuf, menyifatkan skuad olahraga para negara bukan sahaja memikul tugas selaku penyumbang utama emas tetapi menjadi sumber inspirasi atlet lain dalam temasya kali ini di Kuala Lumpur.

Baginya, reputasi dan kejayaan atlet olahraga para seperti Ziyad Zolkefli, Ridzuan Puzi dan Abdul Latif Romly dalam Sukan Paralimpik Rio tahun lalu membolehkan mereka turut tampil sebagai sumber inspirasi buat atlet lain.

Olahraga dijangka menjadi antara penyumbang utama emas kontinjen negara dalam temasya kali ini dan Safrushahar turut percaya ketiga-tiga atlet itu juga mampu menjadi contoh terbaik kepada atlet lain di dalam dan luar gelanggang.

"Kita melihat daripada pasukan olahraga, semangat yang mereka bawa itu mampu mendorong atlet lain untuk turut sama mencapai kejayaan seperti mereka, insya-Allah," katanya.

Dalam pada itu, Ziyad ketika ditemui mengakui dia tetap tidak memandang mudah saingan Sukan Para ASEAN kali ini walaupun turun dengan reputasi sebagai juara dunia para dan juga juara Sukan Paralimpik Rio tahun lalu.

Ziyad mencatat 16.84 meter dalam saingan lontar peluru F20 di Rio sebelum memperbaiki catatan itu dengan 17.29 dalam Kejohanan Olahraga Paralimpik Dunia di London, Julai lalu.

Namun, Ziyad tetap belum puas hati dengan pencapaiannya walaupun berjaya menjadi atlet para pertama meraih pingat dalam Sukan SEA lalu dengan meraih gangsa acara lontar peluru.

"Untuk saya, saya rasa saya mahu memperbaiki kesilapan saya dalam Sukan SEA. Saya tahu setiap sesuatu yang saya lakukan mesti ada kesilapan. Jadi, saya mahu buat yang terbaik dalam Sukan Para Asean kali ini," katanya.

Dalam pada itu, skuad bola sepak lima sepasukan bagi kategori cacat penglihatan turut memasang impian meraih emas dalam Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur.

Kapten pasukan, Amirul Arif Mahadthir, mengakui terdapat sedikit tekanan memandangkan skuad negara akan turun sebagai juara bertahan tetapi sokongan peminat menjadi motivasi tambahan buat mereka.

"Bagi kami, kekuatan tambahan adalah sokongan daripada ahli keluarga dan rakan-rakan.

"Tekanan itu ada tetapi kami cuba untuk mengawalnya kerana kami juga mahu pertahankan pingat emas," kata Amirul.

Turut memasang impian menuai emas ialah skuad bola sepak cacat penglihatan tujuh sepasukan yang sudah menjalani persiapan rapi sejak Julai lalu.

Dua tahun lalu di Singapura, skuad negara hanya mampu meraih tempat keempat dan kali ini sudah pasti sasaran ialah menuai emas di laman sendiri.

Mohammad Sobri Ghazali, yang muncul penjaring terbanyak dengan lapan gol dalam edisi lalu, adalah antara tonggak harapan pasukan.

"Insya-Allah saya akan perbaiki kelemahan. Tahun ini, saya memburu pingat emas dan seterusnya melayakan diri ke Sukan Para Asia di Indonesia," ujar Sobri.