Ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli, memilih pelari lelaki bertaraf universiti sebagai rakan sepelatih selepas Siti Fatimah Mohamad dan S. Komalam Shally mengambil keputusan meninggalkan jurulatih, M. Balamurugan.

Tiada masalah buat Zaidatul menjalani latihan bersama pelari lelaki bagi meningkatkan catatan.

Pemenang pingat perak 100m dan 200m Sukan SEA 2017 ini menerima secara terbuka keputusan Fatimah dan Komalam walaupun mereka pernah membentuk gandingan mantap, terutama dalam acara 4x100m.

Dia fokus terhadap sesi latihannya, namun tetap berharap Majlis Sukan Negara (ISN) dan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menyediakan pelari wanita sebagai rakan sepelatih pada masa depan.

"Rakan sepelatih ini memainkan peranan penting untuk saya. Ia tiada masalah buat saya kerana jurulatih Balamurugan pun ada rancangan untuk saya, terutama bagi Sukan Asia dan Sukan Komanwel," katanya.

Pelari lelaki yang menjadi rakan sepelatih Zaidatul tidak memiliki reputasi besar tetapi mereka mampu meningkatkan catatannya kerana ada antara mereka yang memiliki catatan 11.1s.

"Saya sangat gembira kerana dapat membantu ratu pecut negara, terutama bagi memperbaiki catatan masa saya dan dia," kata K. Kabilan.

Zaidatul akan menyertai Kejohanan Olahraga Terbuka Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Lumut, Perak, bermula 5 Oktober depan.