Skuad tenis kerusi roda negara melakar dua daripada tiga pingat emas Sukan Para KL2017 yang ditawarkan melalui kategori perseorangan lelaki dan quad di Pusat Tenis Nasional Jalan Duta, hari ini.

Perolehan dua emas itu memenuhi sasaran yang ditetapkan oleh Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) selain turut memenangi satu perak melalui acara beregu lelaki.

Abu Samah Borhan, yang menduduki ranking ke-46 dunia, memperagakan aksi cemerlang apabila mengejutkan Suthi Khlongrua (ke-42 dunia) dari Thailand melalui keputusan 6-2, 7-6 dalam kategori perseorangan lelaki.

Ini merupakan emas sulungnya selepas sekadar meraih gangsa di Solo, Indonesia, enam tahun lalu.

"Saya fikir satu sahaja, kita adalah tuan rumah, jadi peluang itu memang untuk kita sebenarnya. Sebab kita berlatih di negara kita. Semuanya saya ambil sebagai cabaran," katanya.

Bagaimanapun, impiannya untuk meraih emas kedua dalam acara beregu lelaki bersama Ariffahmi Zaquan tidak kesampaian apabila tewas 2-6, 4-6 kepada pasangan Thailand, Suthi Khlongrua-Wittaya Peemmee.

Bagi kategori quad, Azman Hassan, mempertahankan emas yang dimenanginya di Solo selepas menjinakkan Sombut Yampapha, 6-2, 5-7, 6-4.

Tetapi, kejayaannya itu bercampur duka apabila pemain berusia 51 tahun berkenaan memberi bayangan ini penampilan terakhirnya dalam Sukan Para ASEAN.

"Saya mahu bersara setelah mewakili Malaysia sahaja. Kalau MSN (Majlis Sukan Negara) mahu saya bermain dalam Sukan Asia 2018, saya akan datang berlatih," katanya.