Pemain bola sepak cerebral palsy (CP) negara, Syahrul Feezwan Abd Samat, tidak menyangka akan diberikan tanggungjawab menyarung lilitan kapten meskipun bakal membuat penampilan pertama dalam Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 yang bermula hujung minggu ini.

Syahrul adalah antara sembilan muka baru yang disenaraikan jurulatih, Asnan Md Zuki, untuk skuad bola sepak CP negara dalam menghadapi temasya berkenaan.

Biarpun cetek pengalaman di pentas antarabangsa, dia masih diberikan kepercayaan berdasarkan kepimpinannya di dalam padang.

"Ada tekanan yang dihadapi oleh pasukan kerana gabungan pemain baru dan lama. Kami akan cuba memberikan yang terbaik," kata Syahrul.

Bagi pemain senior seperti Mohammad Sobri Ghazali yang meledak lapan jaringan ketika edisi 2015 di Singapura tahun lalu, dia tidak kisah siapa yang menyarung lilitan kapten kerana perkara paling utama adalah menggapai emas di laman sendiri.

Pencapaian terbaik Malaysia adalah memenangi pingat gangsa di Myanmar pada 2013 manakala dua tahun lalu di Singapura, kem negara sekadar berpuas hati menduduki tempat keempat.

"Saya berharap dapat mengulangi pencapaian sebelum ini, malah mencuba untuk melakukan lebih baik lagi," kata Sobri.

Dua acara bola sepak Sukan Para ASEAN yang pasti menjadi tumpuan, akan berlangsung serentak pada Isnin ini.

Bola sepak lima berpasukan masalah penglihatan akan berlangsung di Stadium Hoki Nasional manakala bola sepak cerebral palsy pula di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil