Skuad boccia negara mempunyai perancangan untuk menundukkan ego skuad Thailand yang bertaraf juara dunia dalam Sukan Para ASEAN KL2017 dari 17 hingga 23 September ini.

Di Singapura 2015, skuad negara begitu hampir membawa pulang dua pingat emas menerusi acara individu BC1 dan berpasukan BC1/BC2 sebelum dipaksa berpuas hati dengan perak.

Thailand membuktikan dominasi dengan menuai tujuh emas secara keseluruhan dalam kempen dua tahun lalu itu.

"Tidak banyak perbezaan di antara saingan di Singapura dan Kuala Lumpur.

"Kami berlatih seperti biasa, dari pagi hingga petang, kerana telah memasang strategi untuk menewaskan Thailand.

"Kalau berjaya, kami akan menang emas," kata tonggak negara, Lee Chee Hoong.

Semangat daripada atlet negara untuk mencipta sesuatu yang luar biasa menjadi sandaran kepada jurulatih negara, Mohd Isa Mohd Noor, dengan menegaskan tiada apa yang mustahil dalam kemahuan mereka bagi menamatkan penantian emas pertama daripada sukan ini.

"Thailand adalah juara dunia.

"Tetapi, itu bukan masalah kerana sukan seperti petanque juga sudah berubah walaupun sebelum ini mereka adalah juara dunia.

"Kalau tuah bersama dengan kami, apa sahaja boleh berlaku," ujar Isa.