Skuad bola keranjang kerusi roda negara percaya sentuhan kedua daripada jurulatih dari Iran, Abbas Aghakouchaki, dapat menamatkan kemarau pingat emas mereka dalam Sukan Para ASEAN sejak tahun 2005.

Abbas merupakan jurulatih kedua mereka yang hadir untuk membantu jurulatih sedia ada, Lim Ming Lip, demi Sukan Para Asean Kuala Lumpur.

Jurulatih berkenaan turut melatih skuad itu bagi persediaan ke Sukan Para ASEAN 2015 di Singapura dan kali ini kembali semula ke Malaysia sejak awal tahun ini.

Baginya, pasukan telah mempamerkan peningkatan yang baik, khususnya daripada segi lontaran, yang sebelum ini menjadi kelemahan ketara skuad itu.

Dia juga percaya skuad negara mampu merampas pingat emas daripada seteru utama, Thailand, yang merupakan juara bertahan sejak 2005.

"Kami mengadakan dua atau tiga sesi latihan pada setiap hari. Kami memberi tumpuan terhadap kemahiran individu dan pasukan. Ia adalah persiapan yang rapi untuk perlawanan sebenar nanti," kata Abas.

Mereka bakal beraksi bagi dua kategori, iaitu tiga lawan tiga dan lima lawan lima, di mana peluang untuk meraih emas lebih tertumpu kepada acara lima lawan lima.

"Sebelum ini, kami tidak pernah memenangi emas dalam Sukan Para ASEAN. Sebelum 2007, kami selalunya dapat tempat ketiga, selepas itu kami pernah meraih tempat kedua selepas menewaskan Filipina di Korat pada 2007," kata pengurus pasukan, Chee Chen Soon.