Malaysia sudah bersedia untuk sekali lagi menjadi tuan rumah terbaik Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 dan antara agenda yang dititikberatkan adalah penambahbaikan tugas setiap sukarelawan bagi tujuan kelancaran temasya yang bermula secara rasmi esok.

Berbeza dengan Sukan SEA, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, menjelaskan seramai 4,000 sukarelawan untuk Sukan Para ASEAN adalah kumpulan individu yang berlainan yang akan menjadi pemudah acara di setiap venue pertandingan.

Tambahnya, modul latihan yang berlainan juga telah diterapkan terhadap semua sukarelawan bagi menambah baik tugas-tugas mereka setelah tamat Sukan SEA, bulan lalu.

Malaysia ternyata komited bukan sahaja mahu mengejar gelaran juara keseluruhan, namun menyamai pencapaian sebagai tuan rumah terbaik seperti yang dilaksanakan sepanjang Sukan SEA lalu.

"Ini termasuklah apabila atlet para tiba di venue pertandingan menggunakan pengangkutan yang dikhususkan untuk mereka, termasuk kawasan-kawasan yang telah diubahsuai untuk memudahkan perjalanan mereka," ujar beliau.

Terdahulu, Khairy menghadiri majlis mengalu-alukan kedatangan semua kontinjen dan upacara menaikkan bendera negara-negara Sukan Para ASEAN.

Kemudian, beliau sempat melakukan tinjauan akhir di tiga venue sukan di sekitar KL Sports City, iaitu bola sepak cerebral palsy, memanah dan juga Axiata Arena bagi sukan badminton.

"Harapan saya, sepanjang penganjuran Sukan Para ASEAN ini, atlet yang bertanding tidak berhadapan dengan apa-apa halangan seperti kemudahan," tambahnya.