Kehadiran nama-nama baru bakal memperkuatkan lagi persediaan menjelang saingan Sukan Para Asia dan Sukan Komanwel 2018, merujuk kepada nama-nama baru yang cemerlang mempamerkan aksi luar biasa dalam Sukan Para ASEAN Ke-9 ini.

Namun, Malaysia perlu berhati-hati dengan persediaan Indonesia yang dianggap cukup baik ketika ini.

Ia membuka dimensi baru menjelang persediaan saingan Sukan Para Asia dan Komanwel 2018.

Lebih daripada 10 atlet para yang membuat kemunculan sulung cukup hebat mempamerkan prestasi mereka.

Ia secara tidak langsung menambahkan lagi keyakinan kontinjen negara untuk memastikan 11 pingat emas dalam Sukan Para Asia Incheon empat tahun lalu mampu diatasi.

Antaranya, pelumba basikal trek para negara, Muhammad Adi Raimie Amizazahan, bagi kategori C1, C2 dan C3 dan S. Thavanesvaran menerusi acara olahraga 200m T42/43/44.

"Kita mempunyai beberapa atlet para yang kini berada dalam Program Podium.

"Kita akan meneruskan program-program tersebut dan sudah semestinya ia memerlukan peruntukan.

"Dengan adanya Pusat Kecemerlangan Paralimpik di Kampung Pandan, ia akan lebih memudahkan kami untuk mengadakan program latihan secara berpusat dan sepenuh masa kerana atlet-atlet para bukan lagi mengambil bahagian secara suka-suka sahaja," ujar Ketua Pengarah, Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Bagaimanapun, ketiadaan Allahyarham Azlan Mat Lazim yang menyumbang tiga emas ketika di Incheon selain kelibat Faizal Aideal Suhaimi yang telah ditukar klasifikasi perlu diambil kira Majlis Sukan Negara (MSN).

Sementara itu, kegagalan melepasi sasaran 103 emas dengan hanya 90 emas yang berjaya direalisasikan kontinjen negara, tidak dianggap sebagai kegagalan memandangkan Malaysia mampu mengatasi juara bertahan, Thailand, yang sekadar di kedudukan ketiga.

Hanya penguasaan Indonesia yang perlu diberikan perhatian, dengan MSN melihat persediaan negara jiran itu cukup rapi seiring dengan penampilan mereka selaku pasukan tuan ruman Sukan Para Asia 2018.