"Walaupun kecil, ini jasa saya kepada negara," demikian luahan Fuad Sanoesi yang bangga terpilih selaku sukarelawan untuk memakai maskot Rimau sepanjang Sukan Para ASEAN Ke-9 ini.

Walaupun sudah berusia 51 tahun, Fuad masih dilihat cukup cergas untuk bertindak selaku salah seorang sukarelawan dalam temasya itu.

Paling unik, Fuad yang juga orang kelainan upaya (OKU), diberikan peranan cukup penting selaku maskot Rimau.

Jelasnya, Pengurus Besar Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Kapten G. Mohan, adalah individu bertanggungjawab membuka saluran kepadanya untuk menggalas tugas tersebut.

"Sebelum saya pakai (maskot), saya ada rasa gemuruh, maklumlah pertama kali. Tidak pernah gunanya sebelum ini.

"Semasa pakai memang rasa panas, berpeluh tetapi apabila orang datang kerumun, penat semua hilang. Memang seronok," katanya.

Selain itu, Fuad yang mendapat kecacatan kekal sejak tahun 1993 kerana kecederaan saraf tunjang ekoran kemalangan jalan raya, turut menasihatkan warga OKU agar jangan sesekali putus harapan dalam kehidupan.

"Saya mahu menasihatkan kepada orang di luar sana yang dulu mereka manusia biasa tetapi sekarang OKU, janganlah putus asa. Dunia belum berakhir. Banyak lagi masa kita di depan," tambahnya.