Hanya fokus kepada teknik dan strategi menjadi kunci yang dipegang atlet boling tenpin para negara yang cacat penglihatan, Azuan Amir Hassan, dalam misi mempertahankan pingat emas di pentas Sukan Para ASEAN 2017.

Azuan, yang beraksi dalam kategori TPB1, enggan menjadikan kekurangannya sebagai halangan untuknya mempertaruhkan aksi dalam temasya ke-9 itu.

Jika ramai yang musykil bagaimana individu yang tidak mampu melihat boleh beraksi dengan baik dalam sukan ini, Azuan menganggap semuanya bergantung kepada kepercayaan diri selain fokus kepada teknik yang telah dipelajari sejak sekian lama.

Azuan, yang meraih emas bagi acara perseorangan dalam edisi lalu di Singapura, kini dalam proses mendapatkan kembali kecergasan selepas mengalami sedikit kecederaan di lutut kiri, baru-baru ini.

"Kalau yakin kepada diri sendiri, pasti boleh.

"Kalau nak melakukan sesuatu perkara, kita perlulah buat dengan bersungguh-sungguh," ujarnya.

Begitu juga rakan sepasukannya, Muhammad Hairul Miran, yang turut mengalami kecederaan di bahagian siku kanan dan masih perlu berwaspada ketika melakukan balingan sebelum saingan sebenar bermula pada 19 September ini.

"Kecederaan saya semakin pulih dan persiapan kami semakin kemas," katanya.