Atlet tenis para negara, Abu Samah Borhan, tetap mengambil pendekatan berwaspada sempena Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 biarpun hanya dua negara mengambil bahagian dalam saingan tenis kerusi roda.

Saingan kali ini menyaksikan hanya Thailand dan Malaysia bakal beraksi selepas negara lain menarik diri.

Namun, Abu Samah sedar ia bukan jaminan untuk dia meraih emas.

Ini kerana Thailand akan mempertaruhkan pilihan utama, Suthi Khlongrua.

"Peluang memang ada. Jalan nampak mudah tetapi persiapan adalah penting untuk beraksi dalam final nanti," katanya.

Sementara itu, pengendali skuad tenis kerusi roda negara, Nadir Ashraf, percaya Abu Samah sudah bersedia memberi saingan sengit dalam temasya ke-9 ini tetapi perlu kekal berwaspada menangani cabaran Thailand.

"Kecergasan pemain negara berada di tahap yang baik.

"Walaupun saingan hanya membabitkan dua negara, namun wakil Thailand itu memiliki ranking yang lebih tinggi.

"Dia juga pernah layak ke Sukan Paralimpik sebanyak dua kali.

"Ia peluang 50-50," kata Nadir.