Abu Samah Borhan menjadi harapan terbaik buat pasukan tenis kerusi roda negara dalam usaha meraih pingat emas pertama bagi kategori terbuka lelaki dalam Sukan Para ASEAN.

Menjadi wakil tunggal negara beraksi dalam Sukan Paralimpik Rio tahun lalu, Abu Samah yang kini berada di ranking ke-46 dunia bagi acara perseorangan, dijangka mampu memecah dominasi Thailand dalam Sukan Para ASEAN 2017.

Kekecewaan di Solo, empat tahun lalu apabila meraih perak, iaitu kali terakhir sukan itu dipertandingkan, menguatkan tekad pemain berusia 32 tahun ini yang mahu mengejutkan pilihan utama, Suthi Klongrua dari Thailand.

Selain perseorangan, Abu Samah akan turut beraksi dalam acara beregu bersama seorang lagi pemain, Ariffahmi Zaquan Ariffin.

"Sudah lama kami tidak beraksi, kali terakhir di Solo pada 2011. Kami dapat pingat perak untuk acara berpasukan dan gangsa untuk individu.

"Saya akan perbaiki rekod itu. Saya pemain pilihan kedua dan pemain Thailand (Suthi) sebagai pilihan utama. Jadi, peluang saya untuk saya bertemu pemain itu amat besar. Saya akan buktikan kita sebagai tuan rumah mampu mencapai kejayaan," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih tenis roda negara, Nadir Ashraf, melihat Abu Samah dan Ariffahmi sudah bersedia sepenuhnya selepas melalui pelbagai kejohanan utama di sekitar Asia pada tahun lalu.

Malah, rekod kemenangan ke atas Thailand dalam Kejohanan Dunia tahun lalu menjadi motivasi terbaik buat mereka berdua menghadirkan rentak yang sama dalam Sukan Para ASEAN.

"Sekali sahaja, Abu Samah dan Ariffahmi mengatasi pasukan Thailand dalam Kejohanan Dunia Berpasukan di Turki.

"Kami menewaskan mereka untuk mendapatkan pingat gangsa. Daripada segi pengalaman, Thailand berada di depan kita tetapi pada hari pertandingan, kami akan memberikan yang terbaik," kata Nadir.