Dua tahun bergelar atlet sepenuh masa memberi perubahan positif kepada atlet pecut para negara, Ahmad Solihim Mohd Nor, untuk terus memperbaiki prestasi, sekaligus mengejar misi merampas kembali pingat emas Sukan Para ASEAN 2017.

Solihim sebelum ini pernah beraksi dalam Sukan Para ASEAN 2015 Singapura, namun ketika itu dia hanya digelar atlet separuh masa kerana terikat dengan pelajaran.

Selepas itu, bermulalah kariernya sebagai atlet sepenuh masa dan dia mengakui mempunyai banyak peluang untuk memperbaiki prestasi dari semasa ke semasa demi edisi kali ini.

Atlet berusia 27 tahun ini tidak menolak persiapannya lebih rapi dan terperinci kali ini berbanding dua tahun lalu yang menyaksikan dia gagal meraih pingat emas.

"Ketika di Singapura, saya hanya atlet separuh masa tetapi selepas pulang, saya mula menjadi atlet sepenuh masa, jadi sesi latihan lebih sistematik. Sesi pemulihan dan pemakanan juga dijaga, jadi saya amat yakin," ujarnya.

Sasarannya sudah pasti untuk kembali merampas kejuaraan apabila sekadar berpuas hati dengan dua pingat perak di Singapura menerusi acara 100 dan 200 meter T46.

Tetapi, kali ini taruhannya adalah untuk tiga acara, termasuk 4x100m T46.

"Saya sebagai pelari pecut hanya perlu fokus untuk memperbaiki catatan saya. Saya tidak akan memberi tumpuan kepada atlet lain. Yang penting, saya mengutip pingat emas untuk rakyat Malaysia," tambah Solihin.