Thailand bermula dengan langkah kanan apabila menumpaskan Malaysia selaku juara bertahan 2-1 dalam acara bola sepak lima sebelah Sukan Para ASEAN 2017 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Masih awal untuk menilai prestasi skuad negara dalam misi mempertahankan pingat yang dimenangi dalam temasya di Singapura dua tahun lalu.

Skuad Gajah Perang itu mengejutkan tuan rumah dengan jaringan pertama menerusi Kittikorn Baodee pada minit kelapan.

Malaysia hanya berjaya mengimbangi kedudukan lima minit sebelum tamat separuh masa pertama selepas Muhamad Azuan Abdul Rasiad menjaringkan gol.

Pada separuh masa kedua, Thailand lebih banyak mengorak langkah untuk melakukan serangan sebelum gol kedua terhasil daripada pemain sama, Baodee, pada minit ke-40.

Thailand selaku naib juara edisi lalu terus mengekang usaha Malaysia yang cuba mencari gol penyamaan sehingga kedudukan 2-1 kekal sehingga tamat.

Jurulatih pasukan negara, S. Sunny, bagaimanapun, bersikap positif dengan kekalahan ini untuknya menilai lebih terperinci punca sebenar yang perlu diperbaiki bagi memastikan kemenangan menentang Vietnam dalam perlawanan kedua, esok.

"Saya rasa kemahiran yang dimiliki kedua-dua pasukan adalah sama sebab kita dan Thailand sudah lama bermain.

"Seperti kita lihat, mereka juga tumbang dan tergelincir. Ia sama macam kita," katanya.