Penolong jurulatih berbasikal para negara, Mohd Iqbal Sokri, perlu mendapatkan kelulusan untuk membawa pelumbanya kembali berlatih di jalan raya selepas kemalangan membabitkan empat atlet di Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR), semalam.

Skuad berbasikal para negara hanya berlatih di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik, Kampung Pandan.

Mereka masih trauma selepas insiden membabitkan rakan sepasukan sehingga dua jurumudi, Nor Rizuan Zainal dan Syafiq Suhaimi, mengalami kecederaan serius.

Pihak LATAR mengeluarkan kenyataan bahawa pelumba basikal negara tidak dibenarkan berkayuh di lebuhraya itu, sekaligus memaksa skuad negara menyusun semula program latihan.

"Kami tunggu keadaan reda dan menanti kelulusan daripada pihak atasan. Pada masa sama, kami akan cuba memerhati jalan berhampiran dengan Nilai kerana perkampungan atlet berbasikal berada di sana," ujar Iqbal.

Skuad negara juga perlu mencari jurumudi lain bagi menggantikan Syafiq yang akan terlepas sukan Para ASEAN bermula 17 September ini.

"Tugasan kali ini agak berat tetapi saya akan cuba buat sehabis baik. Kami masih berpeluang untuk meraih pingat emas," kata Hafiz Sufian selaku jurumudi berbasikal para negara.

Sementara itu, pelumba basikal para negara, Aiman Asyraff Ahmad Bajuri, melihat senario yang berlaku sebagai suntikan semangat buat dirinya.

"Perjuangan harus diteruskan kerana kami telah melalui pelbagai senario. Apa yang berlaku akan menjadi pembakar semangat untuk kami merebut pingat emas bagi mereka yang tidak dapat bertanding."