Kontinjen para negara kini dalam laluan untuk melakar pencapaian kedua terbaik yang pernah diraih sewaktu Sukan Para ASEAN 2009 dengan 94 pingat emas memandangkan agak sukar untuk mencapai sasaran 103 pingat emas yang telah ditetapkan dalam saingan di Kuala Lumpur.

Kedudukan pingat skuad negara setakat ini seakan-akan memberi petanda bahawa sasaran untuk meraih 103 pingat emas tidak kesampaian, namun Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, menyifatkan Malaysia masih dalam laluan terbaik untuk menyamai pencapaian kedua tertinggi yang pernah diraih negara pada 2009 dengan 94 pingat emas.

Matlamat tetap tidak berganjak daripada sasaran sebenar tetapi keghairahan kontinjen Indonesia yang mengungguli kedudukan pingat ketika ini membuatkan Malaysia mahu bersikap lebih realistik untuk sekurang-kurangnya melebihi 90 emas dalam edisi ini.

"Thailand tampak begitu mudah melepaskan pingat emas mereka dan Indonesia mengambil kesempatan itu, sekaligus menyebabkan pungutan pingat kita agak terjejas.

"Jadi, 103 kekal menjadi matlamat tetapi kami akan cuba kaji semula dan mungkin akan cuba untuk melebihi 90 pingat emas," kata Shapawi.

Pujian tetap diberikan buat barisan atlet yang telah bertungkus-lumus dan Shapawi menuntut semangat berterusan mereka untuk tidak berputus asa bagi memberikan aksi terbaik pada hari terakhir kejohanan, esok.

"Ping pong masih ada dua final dan saya rasa peluang masih ada. Walaupun untuk mencapai 103 mungkin sukar, atlet-atlet Malaysia akan terus menampilkan persembahan terbaik mereka," tambahnya.