Pulang tanpa sebarang pingat emas Sukan Para ASEAN edisi ke-9 ini ternyata memberi kehampaan buat perenang para negara, Julius Jaranding, namun pencapaian tiga perak yang dimenanginya dianggap memadai memandangkan persiapannya selama ini adalah secara bersendirian tanpa jurulatih.

Julius hanya berlatih sendiri tanpa jurulatih yang sepatutnya disediakan khas untuk atlet di bawah Program Podium.

Sebaliknya, dia hanya membuat persiapan dengan bantuan jurulatih dari China, Li Xin Xin, yang bertanggungjawab mengendalikan atlet program Kita Juara.

Justeru, Julius percaya jika ada jurulatih untuknya sebelum ini, sekurang-kurangnya satu emas mampu diraih kerana dia telah menamatkan tiga acara dengan merangkul perak bagi 100m kuak dada lelaki S13, 100m gaya bebas S12 dan 50m kuak dada S13.

"Kami masih menumpang jurulatih MSN (Majlis Sukan Negara) tetapi Program Podium belum ada jurulatih lagi walaupun saya sudah membuat permintaan.

"Keadaan itu mengecewakan saya kerana tiada siapa yang memberi panduan, termasuk soal jadual saya," ujarnya.

Peluang renang untuk memenuhi sasaran 10 emas agak tipis apabila hanya mampu mengutip dua emas sahaja pada hari ketiga kejohanan hari ini untuk menjadikan jumlah lima emas setakat ini.

Fraiden Dawan, yang meraih emas pertamanya dalam acara 400m lelaki gaya bebas S10, mahu membantu skuad negara dalam dua lagi acaranya, iaitu 50m kuak lentang dan 200m rampaian individu pada lusa.

"Saya menyasarkan dua emas, namun akan tetap memberikan aksi terbaik dalam 50m kuak lentang," ujarnya.