Kesanggupan atlet renang para negara, James Wong Tien Yu, pulang ke tanah air dari Australia demi Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 berbaloi apabila berjaya menghadiahkan pingat emas pertamanya di samping memperbaharui rekod kejohanan dalam acara 100 meter kuak kupu-kupu S8, hari ini.

James mencatat masa terpantas 1 minit 12.94 saat, sekaligus memperbaharui rekod kejohanan, 1:30.23s.

Meskipun catatan itu masih lagi belum dapat mengatasi masa terbaiknya, 1:11.00s, namun dia tetap berpuas hati kerana dapat menghadiahkan pingat emas ini di laman sendiri di sebalik telah bermaustautin di Australia sejak 2012 dan kini merupakan seorang jurulatih untuk kelab renang di sana.

Apatah lagi, pada edisi lalu di Singapura, perenang berusia 23 tahun itu gagal meraih sebarang emas.

"Saya hanya meraih perak di Singapura apabila dibezakan dengan 0.14s. Oleh kerana itu, saya amat berpuas hati dengan kemenangan hari ini.

"Saya akan kembali ke Australia minggu depan untuk mengikuti latihan penuh bagi menghadapi Terbuka Australia, bulan depan," katanya.

James, yang telah pun selangkah layak ke Sukan Komanwel 2018 bagi acara 100m kuak dada apabila berjaya menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik daripada lapan perenang lain dalam kelayakan temasya itu dengan catatan masa 1:24.04 saat, kini dia perlu melakukan masa terpantas untuk acara 200m rampaian individu pula pada Jumaat ini untuk layak ke Gold Coast, Australia, tahun depan.

"Saya menyasarkan untuk merebut tempat dalam Sukan Komanwel dan berjaya melakukannya apabila menghuni ranking keempat dalam kelayakan.

"Saya harap dapat mewakili negara di Gold Coast, April nanti."