Atlet renang para negara, Zul Amirul Sidi Abdullah, mahu namanya terus diingati menerusi perjuangan anaknya, Anas Zul Amirul Sidi, selepas mengumumkan persaraan sebaik meraih pingat perak acara 100 meter kuak lentang S5 dalam Sukan Para ASEAN 2017 di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Amirul mencatat 1 minit 41.84 saat, untuk mengakhiri perlumbaan di belakang perenang Vietnam, Vo Thanh Thung, yang melakar 1:26.77s untuk emas, sekali gus memadam rekod sembilan tahun milik Amirul sendiri, 1:36.80s.

Tamat dua acara yang disertainya, termasuk 50m kuak kupu kupu kelmarin, Amirul menganggap sudah tiba masa untuk berehat pada usia 44 tahun.

Bagaimanapun, dia mahu legasinya terus diingati melalui Anas yang mencuri tumpuan dengan meraih emas pertama kejohanan bagi acara 100m gaya bebas S14.

Terlalu cintakan sukan renang sejak berusia 20 tahun lagi, persaraannya diharap mampu meninggalkan impak positif untuk perenang lain bagi mengharumkan nama negara pada masa akan datang.

"Sehingga sekarang, saya belum lagi terlepas pingat, itu yang membanggakan saya. Walaupun kudrat saya sudah berkurangan, saya bangga kerana masih mempertahankan pingat.

"Apabila saya bersara, saya rasa berpuas hati. Pelapis saya sudah ada, saya senang hati. Jadi, saya mahu awak (Anas) menghadiahkan abah satu pingat lagi," kata Amirul.

Sementara itu, Jamery Siga, yang meraih gangsa dalam acara sama, menyifatkan kudratnya masih mampu untuk terus mewakili negara pada usia 31 tahun dan ingin menjadikan pencapaian dalam Sukan Asia di Indonesia tahun depan sebagai penentu kariernya.

"Kalau prestasi saya terus meningkat di Indonesia nanti, saya akan terus bertanding," katanya.