Powerlifting: Yee Khie akhirnya sumbang pingat

Oleh Staff Writer 21 September 2017 367
Powerlifting: Yee Khie akhirnya sumbang pingat
Atlet powerlifting negara, Jong Yee Khie, akhirnya menghadiahkan pingat emas pertama Sukan Para ASEAN Ke-9 menerusi kategori 97kg, hari ini.

Lebih manis, dia memperbaharui rekod kejohanan yang juga miliknya.

Dalam Sukan Para ASEAN di Singapura dua tahun lalu, Yee Khie berjaya mencipta sensasi dengan membuat angkatan 200kg untuk memecahkan rekod kejohanan dan meraih emas.

Mengulangi skrip yang sama, Yee Khie tidak menghadapi sebarang masalah untuk mengetepikan pencabar dari Indonesia, Atmaji Priambodo, dan peserta Thailand, Chinnaphop Khamdam, apabila berjaya membuat angkatan 210kg dalam percubaan kedua.

Biarpun gagal untuk membuat angkatan seberat 215kg dalam percubaan ketiga, ia sudah cukup untuk Yee Khie merangkul emas dan memperbaiki catatan peribadi miliknya.

"Saya memang mahu memecahkan rekod itu kerana mahu menyukarkan atlet lain untuk mengejar. Kalau boleh, saya mahu buat lagi tinggi," katanya.

Sementara itu, dua lagi wakil negara yang beraksi dalam kategori 107kg, Wan Nur Azri Wan Azman dan Mohd Faiz Hussein, cuba memberi tentangan sengit kepada peserta Thailand, Prakit Tongsang, namun kekurangan pengalaman di pentas antarabangsa menyaksikan mereka sekadar meraih perak dan gangsa.

Wan Nur Azri berjaya melakukan angkatan 153kg manakala Faiz berjaya membuat angkatan 152kg, dengan emas milik Prakit yang membuat angkatan 170kg.

"Mereka ini adalah atlet pelapis. Mereka membuktikan mereka boleh pergi jauh. Kita berikan mereka sedikit masa lagi, Insya-Allah dia akan membuat lebih baik lagi," kata jurulatih, Jamil Adam. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen