Jurulatih lompat jauh, Shahrul Amri Suhaimi, kecewa dengan teknik anak didiknya, Abdul Latif Romly, sungguhpun juara Sukan Paralimpik 2016 itu kekal menyumbang pingat emas temasya Para KL2017 buat negara dalam acara lompat jauh T20 di Bukit Jalil, hari ini.

Shahrul Amri tetap mengutamakan prestasi terbaik Latif dengan dia meletakkan catatan 7.60 meter yang dilakukannya di Rio, Brazil, tahun lalu mampu diatasi di Stadium Nasional.

Sebaliknya, teknik Latif kali ini menimbulkan tanda tanya Shahrul Amri selain dia sedar atlet kelahiran Perlis itu tidak berasa selesa ketika membuat lompatan.

“Jarak lariannya sebelum melakukan lompatan membuatkan saya tidak berpuas hati. Sebelum ini, kami berlatih lain,” kata Amri.

Sementara itu, Latif yang ditemui turut mengakui kesilapan teknik yang dilakukannya.

Bukan sahaja gagal mengatasi rekod dunia, malah rekod kejohanan yang dilakarnya dua tahun lalu di Singapura, iaitu 7.43m juga gagal diperbaharui Latif.

“Saya memang berhasrat untuk memperbaiki catatan tetapi tidak tercapai. Mungkin keadaan saya yang sedikit letih.

"Saya akui teknik saya banyak yang perlu diperbetulkan,” ujar Latif.