Denggi bukan isu baru jika ia membabitkan atlet negara.

Terbaru, juara Sukan Paralimpik Rio 2016, Ridzuan Puzi, pula menjadi mangsa dan terpaksa melupakan hasrat mempertahankan emas Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 bagi acara kegemarannya, 100 meter T36, kerana positif denggi.

Rata-rata penonton yang hadir di Stadium Nasional, Bukit Jalil hari ini ingin menyaksikan kelibat Ridzuan di atas trek, namun hampa apabila jaguh dunia itu sekadar duduk bersama penonton bagi menyaksikan acara kegemarannya diwakili tiga peserta negara yang lain.

Ridzuan sendiri mengharapkan keajaiban berlaku sebaik dia keluar daripada wad Hospital Putrajaya dua hari lalu, namun ujian terakhir yang dilakukannya hari ini tetap gagal memihak kepadanya kerana hemoglobinnya masih di tahap rendah.

"Saya sedih sebab terpaksa menarik diri. Mula-mula saya berasa tidak selesa. Apabila sudah dimasukkan ke dalam wad, saya mula berasa semakin selesa tetapi badan saya masih lemah dan tidak cukup cergas," ujarnya.

Atlet para kelahiran Perlis itu dimasukkan ke Hospital Putrajaya, Sabtu lalu, dan mendapat rawatan di wad hospital berkenaan selama tiga hari sebelum dibenarkan keluar semalam.

Rakannya, Mohd Raduan Emeari, mengakui kontinjen negara kehilangan prospek terbaik emas bagi acara itu, dan Raduan sendiri sekadar menyumbang perak selepas tewas kepada peserta Indonesia, Muhamad Agung Laksana, yang memperoleh emas.

"Saya sudah berusaha sehingga berjaya mendapat tempat kedua.

"Saya berasa sedih Ridzuan Puzi tidak dapat berlumba, sepatutnya ini acara kegemarannya," ujar Raduan.