Olahraga: Ridzuan sah tidak bertanding

Oleh Staff Writer 20 September 2017
Olahraga: Ridzuan sah tidak bertanding
Tumpuan kontinjen Malaysia bagi menghadapi saingan Sukan Para ASEAN 2017 sedikit terganggu selepas atlet para olahraga yang juga juara Paralimpik dan juara dunia, Mohd Ridzuan Puzi, terpaksa menarik diri akibat demam.

Ridzuan dijangka beraksi di pentas final acara 100 meter T36, namun kejutan berlaku apabila namanya tiada dalam senarai atlet yang bertanding.

Sebaliknya, hanya tiga wakil dari Malaysia yang tersenarai, iaitu Mohd Raduan Emeari, Muhammad Alif Malek dan Mohd Rezza Md Rashid.

Ridzuan dilaporkan telah dibawa ke Hospital Putrajaya pada Sabtu lalu dan telah dimasukkan ke wad selama tiga hari.

"Ridzuan dikecualikan daripada bertanding kerana masih demam dan kami telah meletakkan calon lain dalam acara tersebut.

"Insya-Allah, pelari-pelari yang diletakkan bagi acara itu mampu memperagakan aksi terbaik," kata Ketua Pengarah, Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Setakat ini, empat pingat emas sudah diraih Malaysia daripada acara olahraga menerusi Shamli Waidi (rejam lembing F36/37 lelaki), Muhamad Ashraf Haisham (1,500m T46 lelaki), Bajury Ladis (lontar peluru F35 lelaki) dan Siti Noor Iasah Mohamad Ariffin (400m T20 wanita).

"Selepas aksi di Singapura 2015, saya banyak belajar pada acara 1,500m dan saya memberitahu jurulatih bahawa saya tidak begitu arif dan memang menjadi sasaran saya untuk memecahkan rekod di tempat sendiri. Alhamdulillah saya berjaya," kata Ashraf.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen