Hati mana yang tidak bimbang melihat anak didik terpaksa melawan kesakitan demi sebuah kejayaan untuk negara dalam Sukan Para ASEAN KL2017.

Keadaan bintang pecut para negara, Ridzuan Puzi, yang belum sihat sepenuhnya daripada demam denggi dan masih dalam pemantauan doktor kontinjen, Azril Mohd Ali, membuatkan jurlatih olahraga para negara, R. Jeganathan, tidak senang duduk kerana khuatir sesuatu yang buruk boleh berlaku kepada atlet itu.

"Saya gembira tetapi saya bimbang mengenainya. Walaupun demam, dia melakukan dengan baik untuk Malaysia. Dia masih dalam pemantauan 24 jam daripada doktor," katanya.

Ridzuan nyata tidak menghampakan apabila turun dengan kredibiliti jaguh Sukan Paralimpik 2016. Dia ternyata hebat dalam memastikan acara 200 meter T36 adalah miliknya dengan catatan 26.03 saat di Stadium Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

"Saya gembira dapat bagi emas untuk negara. Saya datang hari ini dengan pelbagai nasihat doktor dan jurulatih, saya tahu mereka risau tapi emas ini penting untuk saya," katanya.

Terdahulu, Ridzuan terpaksa menarik diri daripada dua acara, iaitu acara kegemarannya, 100m, dan 400m T36 kerana belum pulih sepenuhnya.