Skuad memanah para negara memulakan saingan Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 dengan dua pingat gangsa menerusi Hasihin Sanawi serta I. Ananthy bagi acara recurve individu lelaki dan wanita di Padang Sintetik Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini.

Harapan meraih emas disandarkan kepada saingan lelaki menerusi Hasihin dan juga Ahmad Jafri Jamaluddin, namun hasrat mereka untuk mara ke final tidak kesampaian selepas Hasihin tewas dalam separuh akhir di tangan lawan dari Thailand, Netsiri Hanreunchai, manakala Jafri kecundang dalam suku akhir.

Bagaimanapun, Hasihin tampil dengan panahan lebih konsisten untuk memastikan gangsa menjadi miliknya ketika menentang Muhammad Nurhadi dari Indonesia.

Hasihin meraih kemenangan 6-0 bagi menamatkan penantian pingat buat dirinya dalam Sukan Para ASEAN selain mendedikasikan pingat tersebut kepada ibu-bapanya, Sanawi Matnin serta Safiyah Matyan.

“Ini kali keempat saya mengambil bahagian dalam saingan Para ASEAN dan syukur saya berjaya meraih pingat di laman sendiri.

“Saya menyasarkan pingat emas tetapi semasa di peringkat separuh akhir, saya terlalu teruja sehingga gagal mengawal diri,” kata Hasihin.

Sementara itu, latihan selama empat bulan sahaja tidak menjadi halangan buat Ananthy untuk meraih gangsa saingan recurve individu wanita.

Atlet yang berasal dari Sungai Petani, Kedah itu mengalami nasib yang sama seperti Hasihin apabila cabarannya tersekat dalam separuh akhir.

Namun, dia berjaya bangkit ketika menentang P. Kaeochaemchan apabila memenangi aksi penentuan tempat ketiga dan keempat dengan keputusan 6-4.

“Saya fokus kepada keberanian dan itu yang diajar oleh jurulatih.

“Selepas ini, saya akan cuba meningkatkan prestasi bagi menghadapi Sukan Para Asia,” kata Ananthy.