Jurulatih memanah compound para negara, Tan Peng Loon, melihat faktor prestasi semasa sebagai punca dia membuat pertukaran atlet untuk saingan berpasukan campuran Sukan Para ASEAN Ke-9 yang akan berlangsung esok.

Dua lagi acara menjadi taruhan untuk saingan memanah para di Padang Sintetik Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, iaitu berpasukan campuran recurve dan compound.

Tatkala berpasukan campuran recurve akan digalas Hasihin Sanawi dan L. Ananthy, lain pula kisahnya dengan saingan berpasukan campuran compound.

Berdasarkan aksi individu hari ini, Peng Loon mengambil keputusan drastik dengan menggugurkan Yuhaizam Yahya yang sepatutnya digandingkan bersama Nor Sa'adah Abdul Wahab.

Yuhaizam, yang juga pemenang emas compound individu di Singapura, gagal mempertahankan kejuaraannya apabila terkandas dalam suku akhir selepas kecundang kepada rakan senegara, K. Morogen.

Lantas, Morogen kini menjadi taruhan Peng Loon untuk menggantikan tempat Yuhaizam bagi acara berpasukan campuran esok.

"Jawatankuasa memutuskan untuk membuat pertukaran kerana dia tidak konsisten seperti Morogen. Kami perlukan konsistensi dan kami hanya memerlukan sedikit masa," katanya.

Bagi Nor Sa'adah pula, dia tidak mempunyai masalah untuk bergandingan dengan sesiapa sahaja kerana yakin masing-masing mempunyai kelebihan.

Cabaran sukar, bagaimanapun, menanti mereka apabila dijadualkan berdepan pasukan pilihan, Singapura, dalam pusingan awal.

"Pada awalnya, memang saya bergandingan dengan Yuhaizam tetapi ditukar pada saat akhir.

"Walaupun ada pertukaran, saingan tetap sukar kerana kami akan jumpa dengan Singapura juga," katanya.