Skuad memanah para negara akur dengan dua pingat perak yang diraih dalam saingan compound individu lelaki dan wanita menerusi K. Morogen dan Nor Sa'adah Abdul Wahab dalam Sukan Para ASEAN 2017 di Padang Sintetik Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.

Selepas meraih dua gangsa menerusi kategori recurve individu, saingan compound menjadi taruhan skuad negara untuk bangkit bagi memburu sasaran dua emas.

Salah seorang wakil negara, Yuhaizam Yahya, menjadi sandaran untuk mempertahankan kejuaraan. Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahinya apabila kecundang kepada rakan senegara, Morogen, dalam suku akhir.

Rentak Morogen itu diteruskan apabila dia berjaya melangkah ke pentas final untuk berdepan peserta Indonesia, Toto Wastomi.

Malang buat Morogen apabila sedikit kesilapan dalam panahan pertama mengakibatkan dia tidak dapat mengumpul mata dan kesempatan itu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh Toto.

Hasilnya, Toto meraih emas dengan kutipan mata 136-131, membuatkan Morogen berpuas hati dengan pingat perak dalam Sukan Para ASEAN pertama dalam kariernya.

"Saya amat terkejut kerana kalah kepada atlet itu. Saya cuba mengejar tetapi tidak dapat. Saya hanya mampu merapatkan kedudukan dengan lima mata sahaja," kata Morogen.

Dalam pada itu, Nor Sa'adah yang beraksi buat kali kelima dalam temasya ini membuktikan kemampuan dengan mara ke final saingan wanita.

Wakil Singapura, Nur Syahidah Alim, menjadi lawan bagi perebutan emas untuk mengulangi situasi yang sama seperti edisi dua tahun lalu.

Dan sekali lagi, Syahidah menjadi penghalang apabila memperoleh kemenangan 140-132 untuk bergelar juara.

"Saya menyasarkan pingat emas tetapi saya tidak dapat melakukan yang terbaik kerana ada kesilapan dalam final tadi.

"Ketika di Singapura dua tahun lalu, saya juga kalah kepadanya. Kali ini pun saya memperoleh perak juga," kata Sa'adah," katanya.