Hanya sentuhan dan kebijaksanaan menjadi kunci utama atlet catur para negara, Moira Sukri, yang cacat penglihatan untuk mengatur strategi beraksi dalam Sukan Para ASEAN 2017 bermula hujung minggu ini.

Moira, yang menjadi sandaran negara untuk meraih pingat emas bagi kategori B1 individu dan berpasukan, cacat penglihatan sejak berumur 20 tahun dan mula terlibat dalam sukan ini pada tahun 2007.

Berbeza dengan atlet lain yang mampu melihat, Moira berkongsi cabaran yang dihadapi dalam sukan ini bagi individu sepertinya di mana dia harus membiasakan diri dengan mengenal pasti buah catur menerusi sentuhan sahaja.

Baginya, kesabaran yang tinggi amat diperlukan selain perlu bijak untuk membaca gerak geri lawan meskipun tanpa penglihatan sepenuhnya

"Kami akan gunakan braille dan kami perlu peka dengan 64 petaknya. Setiap kali lawan jalan, kami perlu rasa dan buah itu menuju ke mana.

"Daripada situ, kami boleh lihat apa rancangan kami, sama ada untuk menyerang atau bertahan. Begitulah caranya," katanya.

Sukan Para ASEAN 2017 merupakan temasya ketiga buat atlet berusia 44 tahun ini selepas kali pertama melibatkan diri pada 2008 ketika merangkul emas bagi acara berpasukan.

Dalam edisi ini, dia enggan tertekan memikirkan sasaran yang diletakkan, sebaliknya hanya mahu beraksi sehabis baik untuk mengharumkan nama negara.

"Persatuan Bagi Orang-Orang Buta Malaysia (MAB) mencari wakil dan dari situ saya dapat menyertainya." kata Moira.