Pelumba trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, memohon kerajaan meluaskan penggunaan laluan basikal di Lembah Klang selepas empat pelumba paralimpik kebangsaan dirempuh kenderaan pacuan empat roda ketika menjalani latihan semalam.

Pelumba basikal berdepan risiko tinggi ketika menjalani latihan di jalan raya.

Mereka tidak mempunyai banyak pilihan kerana perlu menyesuaikan diri dengan laluan mendaki dan landai sebelum menyertai kejohanan.

Hakikatnya, laluan basikal amat terhad di Malaysia, sekaligus memaksa pelumba berlatih di jalan raya yang sibuk, termasuk lebuh raya.

"Untuk skuad jalan raya, kami memang menggunakan jalan tersebut. Kami tiada pilihan. Itulah yang kami gunakan ketika latihan.

"Kalau tidak dibenarkan, kami tidak boleh meneruskan latihan.

"Ketika di luar negara, memang ada jalan khas untuk basikal. Jadi, asalkan kami mengayuh dalam landasan itu, kami tidak akan mendapat gangguan daripada kenderaan lain tetapi kami masih perlu mengambil langkah berjaga-jaga," jelasnya.

Shah Firdaus pernah merasai pengalaman dirempuh kenderaan ketika menjalani latihan di Melbourne, Australia.

Ketika ini, dia menghuni ranking ketiga dunia acara keirin, mengatasi pelumba sensasi negara, Azizulhasni Awang di tangga kesembilan.

Shah Firdaus berpeluang merampas ranking pertama dunia milik pelumba Republic Czech, Thomas Babek, hujung tahun ini.