Atlet renang para negara, Julius Jaranding, mengorbankan masanya bersama keluarga pada hari raya Aidiladha untuk melakukan persiapan menjelang Sukan Para ASEAN 2017 yang bakal bermula 16 September depan.

Di saat orang ramai pulang ke kampung, skuad renang para masih sibuk menjalani sesi latihan seperti biasa seawal jam 8 pagi.

Bagi Julius, perayaan kali ini cukup berbeza selepas dia memeluk Islam pada Mei lalu.

Namun, atlet dari Sarawak itu sedar akan tanggungjawab yang digalas apabila turun beraksi dalam Sukan Para ASEAN nanti dan dia bertekad untuk menggunakan setiap kesempatan yang ada bagi memberi fokus kepada setiap sesi latihan.

"Kalau diikutkan, ini Raya Haji yang pertama buat saya, jadi agak sedih tidak dapat beraya bersama keluarga tapi saya sedar saya perlu berkorban untuk negara tahun ini," katanya.

Julius bakal beraksi dalam tiga acara untuk edisi kali ini, iaitu 100 meter kuak dada, 50m gaya bebas dan 100m gaya bebas tetapi hanya dua pingat emas disasarkan iaitu bagi kedua-dua acara gaya bebas.

"Sebelum ini, saya meraih pingat perak dan kali ini saya akan cuba untuk mendapatkan emas. Saya meletakkan sasaran dalam acara gaya bebas," tambahnya.