Jeganathan puas hati persembahan atlet dalam Para KL2017

Oleh Staff Writer 26 September 2017 24
Jeganathan puas hati persembahan atlet dalam Para KL2017
Jurulatih olahraga para negara, R. Jeganathan, berpuas hati dengan prestasi anak buahnya walaupun hakikatnya sasaran peribadi sebanyak 40 pingat emas gagal direalisasikan, namun kehadiran nama-nama baru memberi kelegaan untuk persediaan ke Sukan Para Asia 2018.

Sasaran tidak tercapai, namun kualiti atlet baru membuatkan Jeganathan lega menjelang persediaan ke Sukan Para Asia nanti.

Nama-nama seperti Afiq Ali Hanafiah, S. Thavanesvaran, Ashraf Haisam, Eddy Bernard dan Jonathan Wong yang berjaya mencipta catatan tiga terbaik Asia kini dalam pemerhatian utama jurulatih itu.

Yang paling penting, kelima-lima atlet berpotensi ini berada dalam klasifikasi berbeza membuahkan harapan untuk Jeganathan mencapai rekod 10 emas dalam  Para Asia Incheon 2013 atau melebihi daripada jumlah itu.

"Ini merupakan barisan atlet muda untuk beraksi dalam Sukan Para Asia. Buat masa ini, enam emas dalam tangan Malaysia," kata Jeganathan.

Sasaran peribadinya adalah 40 pingat emas keseluruhan daripada olahraga ketika Majlis Sukan Negara (MSN) meletakkan jumlah 38 emas sebagai sasaran rasmi negara.

Hanya kurang dua emas untuk mencapai sasaran tersebut, Jeganathan melihat beberapa atlet Program Podium gagal mencapai prestasi terbaik, antaranya Faizal Aideal Suhaimi, Krisna Kumar Hari Das selain kondisi Ridzuan Puzi yang mengalami demam denggi memaksa dia menarik diri daripada menyertai dua acara.

"Kami masih lagi berusaha untuk mencari atlet yang boleh beraksi dalam kategori Cerebral Palsy (CP) yang muda untuk diasah beraksi dalam kejohanan-kejohanan akan datang."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen