Janji dua tahun lalu ditunaikan trio lelaki boling tenpin para negara apabila berjaya melunaskan dendam untuk merangkul pingat emas acara campuran kategori B8, B9 dan B10 dalam Sukan Para ASEAN, hari ini.

Trio yang dibarisi Mohd Azrin Rahim, Muhamad Amin Abdul Rasyid dan Zahidi Lamsah, berdepan saingan sengit sebelum melakar kejayaan selepas melakukan 2,209 jatuhan pin, dibezakan 90 pin dengan Singapura yang meraih perak.

Dalam edisi lalu di Singapura, trio lelaki campuran negara meraih perak bagi acara sama apabila ditewaskan oleh Thailand dan kini mereka berpuas hati apabila musuh mereka itu sekadar meraih tempat keempat.

Ketinggalan pada awal perlawanan, ia tidak mematahkan semangat trio itu untuk terus menggandakan usaha mengejar kedudukan sehingga ke frame terakhir.

"Jurulatih banyak memberikan sokongan kepada kami. Ajar kami bagaimana untuk fokus dalam perlawanan. Kami membuat kebangkitan dalam perlawanan keempat," kata Amin.

"Saya sangat bersyukur kerana dapat melakukan yang terbaik. Sebenarnya, saya tidak pernah meraih emas dalam mana-mana temasya besar," kata Azrin.

Zahidi, yang menganggap aksinya kurang menyerlah bagi acara perseorangan dan beregu, tidak dapat menahan sebak apabila usahanya akhirnya membuahkan hasil untuk menjulang emas.

"Saya rasa sangat berpuas hati kerana saya dapat memulihkan rentak saya semula. Jurulatih banyak memberikan bantuan kepada saya," katanya.