Bola keranjang: Malaysia gagal atasi Thailand

Oleh Staff Writer 22 September 2017 716
Bola keranjang: Malaysia gagal atasi Thailand
Impian skuad negara untuk meraih emas acara bola keranjang kerusi roda tidak kesampaian apabila tewas kepada Thailand 56-70 dalam perlawanan akhir Sukan Para ASEAN 2017 di Dewan 10, MITEC, hari ini.

Selepas tumpas kepada negara itu dalam acara tiga lawan tiga semalam, skuad negara turun dengan misi menebus kekecewaan menerusi acara lima lawan lima.

Bagaimanapun, sejak suku pertama, Malaysia tampak begitu sukar untuk menyaingi kehebatan pelawat apabila ketinggalan 9-23.

Memasuki suku kedua, Malaysia merapatkan jurang mata kepada 22-38 tetapi Thailand makin selesa pada suku ketiga dengan jurang 38-52.

Akhirnya, Thailand mengesahkan kemenangan untuk meraih pingat emas dengan keputusan akhir 56-70.

"Memang kami tiada rezeki pada hari ini tetapi saya dan pasukan telah memberikan yang terbaik. Kami tidak jangka prestasi Thailand makin meningkat.

"Kali terakhir kami jumpa Thailand adalah di Singapura dua tahun lalu," kata pemain negara, Ahmad Nazri Hamzah. 

Sementara itu, jurulatih pasukan negara, Abbad Aghakouchaki, berkata: "Persembahan sangat buruk berbanding edisi sebelum ini. Seperti dalam acara tiga lawan tiga, pemain Thailand adalah lebih besar dan tinggi daripada kami." 
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen