Boccia: Dua wakil Malaysia terlepas emas 

Oleh Staff Writer 22 September 2017 467
Boccia: Dua wakil Malaysia terlepas emas 
Dua wakil negara terpaksa akur dengan pingat perak selepas tumpas di tangan pemain Thailand dalam perlawanan akhir boccia Sukan Para ASEAN 2017 di Dewan 6, MITEC, hari ini.

Lean Chin Kit, yang beraksi dalam kategori BC1, tewas kepada Witsanu Huadpradit 14-0. Gangsa bagi kategori itu dimenangi Tipmanee Subin juga dari Thailand yang menewaskan Tan Yee Ting dari Singapura 5-1.   

Seorang lagi wakil negara, Lee Chee Hoong, pula kalah kepada Boontep Pachdee dengan keputusan 8-1 dalam kategori BC2. 

Pingat gangsa bagi kategori itu menjadi milik Worawut Saengampa selepas menewaskan seorang lagi pemain negara, Mohd Syafiq Mohd Noh, 5-1. 

"Saya berpuas hati dengan pencapaian kali ini sebab saya tidak pernah mara ke final sebelum ini.

"Saya gembira tetapi mahu buat macam mana, rezeki untuk pingat emas tiada. Pemain lawan lebih kuat daripada saya," kata Chee Hoong.

Sementara itu, Chin Kit berkata: "Saya memang hanya menyasarkan mara ke final. Walaupun kalah, saya berpuas hati."

Sekalipun gagal meraih sebarang pingat emas, Malaysia berbangga memperoleh keseluruhan empat perak dan dua gangsa bagi memperbaiki pencapaian di Singapura dua tahun lalu.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen