Skuad berbasikal trek para negara memulakan kempen dengan gemilang untuk Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 apabila membolot kesemua tujuh emas yang dipertandingkan hari ini.

Emas pertama kontinjen negara hadir menerusi Mohd Adi Raimie Amizazahan dalam acara ujian masa 1 kilometer kategori C1, C2 dan C3 lelaki.

Meskipun ini merupakan penampilan pertamanya di pentas Sukan Para ASEAN, dia berjaya melakar catatan peribadi terbaik, 1 minit 17.232 saat.

Seterusnya, giliran Mohd Najib Turano mengungguli acara ujian masa 1km kategori C4 untuk menghadiahkan emas dengan masa 1:12.771 saat.

Dalam acara wanita, gandingan Nur Azlia Syafinaz dan jurumudi, Noraidilina Adilla, berjaya menyumbangkan dua emas, masing-masing dalam acara pecut dan ujian masa 1km kategori B.

Turut menyumbangkan dua emas adalah gandingan Mohd Afiq Afify Rizan dan jurumudi, Mohd Khairul Adha Rasol, dalam acara pecut dan ujian masa 1 km kategori B lelaki.

Tidak dilupakan juga sumbangan Zuhairie Ahmad Tarmizi yang berjaya melakar masa 1:09.60 saat dalam acara ujian masa 1km kategori C5 lelaki.

“Pada permulaan, saya agak gementar. Tetapi saya meletakkan fokus untuk memberikan yang terbaik untuk cemerlang demi negara dan keluarga,” kata Adi.

“Saya telah meletakkan sasaran untuk meraih dua pingat emas dalam acara yang saya sertai. Selepas ini, saya akan membuat persiapan bagi menghadapi kejohanan akan datang,” kata Afiq.