Hampir dua minggu selepas menjadi mangsa kemalangan jalan raya ketika menjalani latihan, Mohd Khairul Hazwan Wahab menonjolkan diri selaku atlet bersemangat waja apabila meraih pingat emas menerusi acara ujian masa individu lelaki (B) dalam Sukan Para ASEAN di Putrajaya, hari ini.

Pada 7 September lalu, Khairul Hazwan adalah antara empat anggota skuad berbasikal para negara -- selain Khairul Nizam Mohd Ali serta dua jurumudi, Mohd Nor Rizual Zainal dan Mohd Nur Syafiq Suhaimy -- yang menjadi mangsa langgar lari ketika berlatih di Kilometer 12.6 Lebuhraya LATAR menghala Kuala Selangor berhampiran susur keluar Bandar Tasik Puteri.

Mereka dikejarkan dan dirawat di Hospital Sungai Buloh, dengan peluang untuk pulih dan menyertai Sukan Para ASEAN ketika itu samar-samar.

Namun, Khairul Hazwan, yang cacat penglihatan, membuktikan semangat kentalnya apabila mencatat masa 33 minit 13.88 saat bagi mengesahkan emas, menewaskan dua pencabar dari Singapura, Jessen Ng dan Tee Wee Leong.

Secara keseluruhan, skuad berbasikal lebuhraya para negara berjaya meraih empat pingat emas dan tiga perak selepas Mohd Najib Turano memenangi acara ujian masa individu C4 lelaki dengan masa 17m 56.31s.

Turut membutirkan emas adalah Lim Tao Keong menerusi ujian masa H1-H5 lelaki (26m 47.573s) serta Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin bagi acara ujian masa individu campuran C1, C2, C3 (17m 40.21s).

Atlet negara yang meraih perak pula adalah Zuhairie Ahmad Tarmizi (ujian masa individu lelaki C5), Muhammad Adi Raimie Amizazahan (ujian masa individu campuran C1, C2, C3), serta Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais (ujian masa individu wanita B).