Skuad berbasikal negara menutup kempen Sukan Para ASEAN 2017 dengan kejayaan gemilang apabila menyumbang enam pingat emas pada hari terakhir pertandingan di Dataran Putrajaya hari ini.

Sebanyak tujuh emas dipertandingkan pada hari terakhir saingan berbasikal lebuh raya.

Acara pertama adalah lepas beramai-ramai kategori H1 hingga H5 yang menyaksikan wakil negara, Alvin Lim Tao Keng, meraih emas kedua peribadi dengan melakar masa 57.11 saat.

Selepas itu, giliran peserta daripada kategori C4, Mohd Najib Turano, menyumbangkan emas kedua untuk kontinjen Malaysia yang juga emas keempat peribadinya dalam Sukan Para ASEAN dengan masa 1 jam 24 minit 11 saat.

Dalam kategori C5, kayuhan Zuharie Ahmad Tarmizi terus menceriakan kem Malaysia dengan emas selepas unggul mengatasi lawan dari Indonesia dan Filipina.

Seterusnya, kategori C1, C2 dan C3 menyaksikan persaingan sengit antara pelumba negara, Yusof Hafizi Shaharuddin, Adi Raimie Ami Zazahan dan Mohammad Syazwan Roshdi.

Namun, Syazwan lebih unggul untuk meraih emas dengan catatan 1:23.50s manakala perak milik Adi sementara gangsa diraih Yusof.

Bagi kategori B wanita, sandaran utama negara, Nur Azlia Syafinaz, dan jurumudi, Nor Aidilina Adilla, terus mempamerkan persembahan menakjubkan sepanjang temasya kali ke-9 ini dengan mengungguli saingan, sekaligus menyumbangkan emas kelima kontinjen Malaysia dengan catatan 1:55.17s.

Menutup kejayaan gemilang adalah kategori B lelaki, dengan Aiman Asyraff Ahmad Bajuri dan jurumudi, Mohd Faisal Mohd Noh, terus mencipta kejayaan bermakna dengan menyumbang emas keenam kem Malaysia.

Aiman dan Faisal berjaya mengatasi rakan sepasukan, Muhammad Khairul Nizam Mohd Ali, Muhammad Hafiz Sufian, Khairul Hazwan dan Muhammad Rauf Nur Misbah dengan catatan masa 2:9.22s.

"Alhamdullillah, saya dapat emas dalam acara terakhir saya. Saya membuktikan saya boleh bangkit daripada kelemahan saya dalam saingan semalam," kata Zuharie.

"Dari awal lagi, kami bersama sehingga pusingan ketujuh. Terima kasih kepada rakan sepasukan saya semua," kata Aiman.