Sukan Para ASEAN 2017 yang menutup tirainya semalam berjaya memahat kenangan manis buat rakyat Malaysia di samping kehadiran permata baru yang kini dalam misi mengukir nama di peringkat lebih tinggi pada masa akan datang.

Di sebalik kehadiran atlet bertaraf dunia seperti Muhammad Ziyad Zolkefli, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan Abdul Latif Romly dalam sukan olahraga, beberapa atlet lain yang menyerlah harus diberikan perhatian.

Prestasi atlet berbasikal, Nur Azlia Syafinaz, bersama jurumudinya, Noraidillina Adila J Sam, yang menghadiahkan empat emas dalam penampilan pertama mereka di pentas itu begitu membanggakan.

Selain itu, Najib Turano turut menjadi antara penyumbang terbanyak dengan empat emas daripada sukan itu.

Sementara itu, di kolam renang, Anas Zul Amirul Sidi yang masih berusia 17 tahun nyata mencuri tumpuan kerana menghadiahkan pingat emas 100m gaya bebas S14.

Ia adalah hasil daripada tunjuk ajar daripada ayahnya yang juga perenang para berpengalaman negara, Zul Amirul Sidi Abdullah.

"Ia merupakan satu kejayaan yang perlu diberikan perhatian, khususnya daripada aspek pendedahan kejohanan sebenar," kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Shapawi Ahmad.

Tugas atlet para negara sudah tentu tidak terhenti di sini kerana banyak lagi yang perlu mereka hadapi, terutama Sukan Para Asia dan Sukan Para Komanwel pada tahun depan.