Kemalangan skuad berbasikal para negara di Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) mendedahkan dilema pelumba basikal mengenai laluan untuk menjalani latihan selepas lebuh raya, laluan bandar dan kampung didakwa tidak sesuai.

Soalnya, di mana mereka boleh berlatih?

Kemalangan yang dialami atlet berbasikal para pada 7 September lalu membuktikan pelumba basikal negara tidak mempunyai banyak pilihan.

Dua jurumudi dan dua pelumba dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda ketika berlatih menjelang Sukan Para ASEAN yang bakal membuka tirai Ahad ini.

Lebih mengusutkan keadaan, pelumba basikal tidak dibenarkan berlatih di LATAR walaupun lebuh raya itu dikenal pasti antara yang paling lengang di Lembah Klang.

"Lebuh raya itu ada laluan kecemasan untuk kami sebagai pelumba basikal menggunakannya. Jadi, pengguna jalan raya perlu bertolak-ansur dan beri kami ruang untuk kami guna," ujar bekas pelumba lebuh raya negara, Mariana Mohamad, ketika ditemui Nadi Arena.

Meskipun Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedia menghulurkan bantuan bagi pelumba negara atau pelumba amatur menjalani latihan, namun prosedur yang perlu dipatuhi belum tentu menjamin keselamatan pelumba.

Atlet para negara mempunyai pilihan kedua, iaitu penggunaan laluan khas basikal.

Beberapa kawasan seperti Shah Alam, Damansara dan Cyberjaya menyediakan laluan itu, namun jaraknya terlalu pendek, iaitu sekitar 10 kilometer.

Ia tidak memadai kerana pelumba amatur saja berkayuh sekitar 50km.

"Memang ada perbezaan ketara di antara pengguna jalan raya di Kuala Lumpur dan Terengganu. Macam saya kayuh di Terengganu, kesedaran pemandu di Terengganu lebih tinggi dan mereka peka dengan keselamatan perlumba basikal.

"Tetapi di Kuala Lumpur, pengguna jalan raya amat terburu-buru," kata atlet pakar pecut Terengganu Cycling Team (TSG), Anuar Manan.

Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) sejak April lalu merekodkan hampir 200,000 kesalahan memandu laju, sekaligus menjadi ancaman utama terhadap nyawa pelumba basikal.

"Kedudukan saya amat rendah, kerana itulah saya memasang bendera bagi memudahkan pengguna jalan raya lain nampak kami. Selain itu, selalunya setiap kali latihan, kami bergerak dalam satu kumpulan.

"Jurulatih juga mengikut kami menggunakan motorsikal di samping ada sokongan daripada van yang mengikut kami," kata atlet berbasikal para negara, Alvin Tan.

Jadi, apakah pilihan terbaik bagi menjamin keselamatan atlet dan pengguna basikal?

Menggunakan khidmat pengiring poli, menambah laluan khas basikal atau mengubah sikap pemandu jalan raya?